top of page
Writer's pictureDr Siti Muyassarah Rusli

Aesthetic Awareness 101 : Kenali Siapa Yang Merawat Anda

Updated: Jul 24, 2022

For English Version Of Article, Click Here


Berita yang muncul baru-baru ini tentang seorang model tempatan yang maut selepas mendapatkan rawatan "liposuction" (sedutan lemak) dari seorang “doktor” yang berumur 23 tahun di sebuah premis yang kononnya sebuah “pusat estetik” hanyalah sebahagian kecil daripada realiti yang menghantui industri kecantikan dan perubatan negara.




Penggunaan terma seperti “medi"spas / “estetik”/ “klinik” juga semakin menjadi-jadi, dan sering digunakan untuk menaikkan lagi kredibiliti sesebuah pusat kecantikan, sekalipun rata-rata tidak mempunyai lesen yang sah untuk beroperasi sebagai klinik perubatan. Lebih menyedihkan lagi, banyak premis sebegini langsung tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Akhirnya, semua masalah dan komplikasi yang timbul dek “rawatan” di “klinik-klinik” begini dihumban kepada pakar bedah plastik dan ahli dermatologi professional untuk diselesaikan.


Sememangnya lebih mudah untuk kenal pasti pusat kesihatan yang sudah kukuh untuk kita dapatkan rawatan yang mencukupi dan yang boleh dipercayai di sektor awam kerana ia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia. Malangnya, ia berbeza sama sekali di sektor swasta yang lebih menjurus ke arah perniagaan. Bila sudah banyak pusat kecantikan melabelkan diri mereka “klinik”, dan menggunakan terma seperti “estetik” dan “medispa”, makin ramai pula pemilik premis sebegini berani mendakwa diri mereka sebagai "aesthetician" (ahli pegawai perubatan estetik) atau “doktor kecantikan”.


Lebih membahayakan lagi, ada di antara mereka ini yang sudah mula menawarkan perkhidmatan perubatan dan pembedahan yang sepatutnya hanya dijalankan oleh pengamal perubatan yang bertauliah. Hakikatnya, mereka ini adalah pengamal perubatan yang haram, dan akhirnya pakar bedah plastik dan ahli dermatologi bertauliah jugalah yang terpaksa menghadapi komplikasi rawatan yang diberikan kepada orang awam yang terpedaya dengan mereka yang tidak bertanggungjawab ini.


"Kalau Isunya Lebih Dalam Daripada Kulit Luar, Ia Di Luar Tugas Jurukecantikan”

Dalam usaha untuk mengekang masalah ini demi kemaslahatan ramai, pihak kementerian telah pun menyediakan garis panduan yang wajar sebagai jalan penyelesaiannya. Untuk pengetahuan semua, sebenarnya perkhidmatan estetik di negara kita ada garis panduannya sendiri. Malah doktor perubatan bertauliah pun ada keterbatasannya dan perlu melakukan tugas mereka berdasarkan Garis Panduan Amalan Estetik Untuk Pengamal Perubatan Berdaftar di Malaysia.


Sesetengah perkhidmatan estetik hanya boleh dikendalikan oleh sesetengah pengamal perubatan berdasarkan latihan yang telah pun mereka jalani. Bukan semua doktor mempunyai kelayakan untuk menjalankan prosedur estetik.


Berdasarkan garis panduan kebangsaan, pengamal perubatan estetik dibahagikan kepada:

  1. Core (Kumpulan Berkaitan Bidang Tugas)

  2. Non Core (Kumpulan Tidak Berkaitan Bidang Tugas)


Kumpulan Non Core ini diwajibkan untuk melengkapkan jumlah prosedur yang ditetapkan dan setiap prosedur pula dijalankan mengikut kes untuk membolehkan mereka menawarkan kepakaran bagi prosedur tertentu (yang biasanya hanya dibenarkan untuk dikendalikan oleh kumpulan Core ).

Pengamal estetik Core ini terdiri daripada pakar bedah plastik, pakar perubatan dermatologi, dan pengamal perubatan am yang ada latihan estetik. Sesetengah kepakaran lain juga boleh menjadi Core dalam bidang estetik - tapi hanya bagi beberapa prosedur terpilih sahaja. Mereka ini terdiri daripada pakar bedah vaskular (vascular surgeon), pakar bedah Telinga, Hidung & Tekak (ENT surgeon), dan pakar bedah payudara (breast surgeon).


Bukan Semua Pengamal Perubatan Estetik Ada Kelayakan Sama

Apa maksudnya tak sama? Pengamal perubatan estetik ada tiga peringkat.


Peringkat I : Pengamal Perubatan Am (Dengan Latihan Estetik)

  • Non Invasive (tidak invasif): Rawatan Pengelupasan Kimia Lapisan Permukaan (Chemical peel - superficial), Microdermabrasion, Terapi IPL


  • Minimally Invasive (minimal invasif) : Rawatan Pengelupasan Kimia (Lapisan Pertengahan), Botox, Filler (kecuali silikon dan lemak), superficial sclerotherapy, rawatan laser untuk pigmentasi kulit, rejuvenasi dan pembuangan bulu, rawatan menegangkan kulit - RF, US, Infrared sehingga ke dalam lapisan kulit dermis


Peringkat II : Kepakaran Perubatan (Core: Ahli Dermatologi)

  • Non Invasive (Tidak Invasif): Sama Seperti Peringkat I


  • Minimally Invasive (minimal invasif): Sama Seperti Peringkat I


+ DITAMBAH LAGI DENGAN RAWATAN BERIKUT :


  • Invasif: Rawatan laser untuk vascular lesions, rawatan laser untuk ablative skin resurfacing, pengelupasan kimia (mendalam), Pengimejan Ultrasound


  • Prosedur Invasif Mengikut Kes: Transplan rambut, Phlebectomy, Tumescent liposuction





Peringkat III: Pakar Pembedahan (Core: Pakar Bedah Plastik)

  • Non Invasive (Tidak Invasif): Sama Seperti Peringkat I & II


  • Minimally Invasive (minimal invasif): Sama Seperti Peringkat I & II


  • Invasif: Sama Seperti Peringkat I & II


+ DITAMBAH JUGA



Semua jenis rawatan dan pembedahan yang tidak disebutkan di Peringkat I & II seperti:

  • Abdominoplasty (tummy tuck)

  • Liposuction (sedut lemak)

  • Fat graft (pemindahan lemak)

  • Rhinoplasty (pembedahan hidung)

  • Rhytidectomy (face lift)

  • Implan - muka/ payudara / punggung dan sebagainya

  • Brow lift (rawatan menaikkan kening)

  • Pembedahan payudara - pembesaran, pengecutan

  • Blepharoplasty (pembedahan kelopak mata)







 

Secara kesimpulannya, sebagai seorang pakar bedah plastik, kepakaran saya tidak terhad kepada prosedur estetik yang boleh dilakukan oleh Pengamal Perubatan Am Estetik (Peringkat I) dan Ahli Dermatologi (Peringkat II). Sebaliknya, Pengamal Perubatan Am Estetik tidak dibenarkan menjalan skop prosedur Ahli Dermatologi dan Pakar Bedah Plastik. Ahli Dermatologi tidak dibenarkan untuk menjalankan skop prosedur pakar pembedahan plastik (kecuali yang telah dinyatakan di Peringkat I & II). Sama juga dengan mana-mana “doktor kecantikan” yang menawarkan rawatan yang dinyatakan kepada klien-klien mereka. Malah, prosedur yang tidak invasif seperti chemical peel (superficial), microdermabrasion dan IPL juga perlu dilakukan sekurang-kurangnya oleh pakar estetik dan ahli dermatologi bertauliah.


Jika Pakar Bedah Plastik, Pengamal Perubatan Estetik Am dan Ahli Dermatologi sendiri mempunyai peranan dan had mereka sendiri dalam menawarkan perkhidmatan perubatna kecantikan, apatah lagi seorang jurukecantikan (beautician), tak kisahlah betapa terlatihnya mereka. Seseorang yang tidak mempunyai latar belakang perubatan tidak akan tahu bagaimana untuk mengendalikan komplikasi perubatan kerana mereka tidak dilatih untuk menghadapinya.


Rawatan Estetik Ada Risiko dan Komplikasinya Sendiri

Sejak memulakan kerjaya saya, saya dah lihat banyak komplikasi estetik akibat klien mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan tak berlesen atau “doktor palsu” ini. Di antaranya, parafinoma atau penile siliconoma (siapa sangka penile injection sesuatu yang biasa di kalangan kaum adam!), nasal siliconoma, penyemperitan implan (implant extrusion), jangkitan pada filler payudara (breast filler infection), silicone pneumonitis (radang paru-paru disebabkan migrasi silikon daripada suntikan filler punggung) dan juga pembedahan hidung yang gagal. Ada di antara komplikasi ini terlalu rumit dan teruk sehinggakan pakar bedah plastik yang masih muda seperti saya juga tidak berani untuk merawatnya dan terpaksa minta pertolongan pakar yang lebih berpengalaman dan yang sanggup mengendalikannya.




Kenali Doktor Anda

Memang bukan senang nak tahu atau nak pastikan doktor di pusat estetik pilihan anda bertauliah untuk mengendalikan prosedur anda atau tidak. Kerana ini pihak kementerian telah menyediakan Senarai Doktor Pendaftaran Kepakaran Nasional Pengamal Perubatan Estetik (National Registry Of Registered Medical Practitioner For Aesthetic Practices) yang boleh didapati di atas talian. Senarai ini agak tepat malah turut menyenaraikan pengamal perubatan Non-Core supaya anda tahu jenis rawatan yang bagaimana yang doktor anda boleh lakukan dan telah dilatih untuk melakukannya. .

Jadi sebelum anda memilih untuk menjalani prosedur anda:

  • Kenal pasti rawatan yang bagaimana anda mahukan

  • Kenal pasti tahap invasif dan limitasi pusat kecantikan, pusat estetik, dan klinik anda

  • Kenal pasti apa yang doktor kecantikan dan pakar estetik anda boleh dan tidak boleh lakukan.

Beringat sebelum kena. Keselamatan amat penting - ia harta anda yang tak ternilai.

Ingat, yang murah tu mahal risikonya.





Dr Siti Muyassarah Rusli

Pakar Bedah Plastik, Rekonstruktif & Estetik

MD. (KSMU), M.Surg (Plastic Surgery) (USM)

Plastic, Reconstructive & Microsurgery Fellowship (Vienna, Austria)

Stephen S Kroll Fellowship (Gent, Belgium)

Kommentare


bottom of page